Penggubalan undang-undang Bundestag

Kaedah penggubalan secara am

Di dalam sisem perundangan di Jerman, Bundestag mempunyai hak untuk mencipta undang-undang selain daripada badan eksekutif persekutuan dan juga Bundesrat. Hak ini dinamakan sebagai Initiativrecht atau kuasa bertindak.

Rang undang-undang yang dibawakan oleh ahli-ahli parlimen (selain daripada pihak kerajaan) perlulah disokong oleh sebuah Fraktion atau sekurang-kurangnya 5 peratus daripada jumlah keahliannya. Rang undang-undang ini akan terlebih dahulu dikaji dan dibahaskan di parlimen dengan melalui 3 proses bacaan (lebih kurang sama seperti di Dewan Rakyat Malaysia). Jika mendapat sokongan ahli-ahli parlimen melalui undian pada akhir bacaan ketiga, rang undang-undang ini akan dibawa ke Bundesrat. Rang undang-undang yang dibawakan oleh badan eksekutif diproses terlebih dahulu di peringkat Bundesrat. Dengan jawapan balas daripada Bundesrat, rang undang-undang ini akan dibawakan pula ke perhatian Bundestag. Jika rang undang-undang itu pula datangnya dari Bundesrat, hanya dengan respons pihak kerajaan barulah rang undang-undang itu dicadangkan di parlimen.

Oleh itu, sesebuah rang undang-undang yang telah diluluskan hanya boleh berkuatkuasa dengan penglibatan Bundesrat. Namun begitu, tidak semua rang undang-undang perlu mendapat persetujuan Bundesrat. Sekiranya rang undang-undang itu menyentuh kepentingan negeri-negeri (Ini adalah satu lumrah kerana berkaitan dengan undang-undang peringkat persekutuan), persetujuan Bundesrat adalah diperlukan sebelum rang itu menjadi undang-undang penuh. Hal ini digariskan di dalam Perlembagaan persekutuan dengan jelas.

Dalam kes yang memerlukan persetujuan Bundesrat, bangkangan boleh terjadi sekiranya majlis tersebut tidak dapat mencapai kata sepakat. Kes ini dinamakan kuasa veto. Di dalam kes ini, rang itu akan dikembalikan dengan nota bantahan ke Bundestag. Jika pindaan dibuat ke atasnya, rang undang-undang ini dibawa semula ke Bundesrat. Jika tiada pindaan, rang undang-undang ini boleh diluluskan sekali lagi dan dikuatkuasakan tanpa dikembalikan kepada Bundesrat. Hal ini hanya boleh berlaku dengan kekuatan undian yang sama, iaitu, jika rang undang-undang pada asalnya ditolak dengan undian dua pertiga ahli Bundesrat, maka kelulusan hanya boleh berlaku dengan undian setuju daripada dua pertiga ahli-ahli parlimen.

Kadangkala Bundesrat tetap berdegil mahu meminda atau mengenakan veto ke atas sesebuah rang undang-undang yang akhirnya hanya akan diluluskan dengan persetujuan dua pertiga ahli parlimen. Bagi mengelakkan kelulusan tanpa pindaan yang dimahukannya dibuat, Bundesrat boleh menggunakan satu mekanisme khas yang melibatkan pembentukan satu suruhanjaya pengimbang tara atau berusaha berunding dengan pelbagai pihak bagi mencapai kehendak politik yang boleh mengakibatkan pindaan itu dilaksanakan.

Kadangkala beberapa rang undang-undang atau usul, yang langsung tidak berkaitan di antara satu sama lain, dicadangkan sekaligus di dalam satu pakej untuk dibahas dan diputuskan dalam hanya satu undian. Pakej ini dikenali di dalam istilah perundangan sebagai Junctim (atau Iunctim). Canselor Gerhard Schroder pernah melakukannya ketika mengusulkan satu akta yang membolehkan kerajaan melakukan kerahan ke atas tentera menyertai misi pengaman di Afghanistan bersama-sama dengan usul percaya.

Pemprosesan rang undang-undang di Parlimen

Usul yang dicadangkan perlulah terlebih dahulu melalui bacaan pertama. Ketika ini, perbahasan dan pertukaran pendapat dilakukan di dewan persidangan dan bergantung dengan kepentingan dan kedudukan rang undang-undang itu. Selepas itu, rang itu akan dihantar kepada jawatankuasa-jawatankuasa parlimen yang berkaitan untuk diperhalusi termasuk jawatankuasa undang-undang dan belanjawan bagi memastikan samada rang ini mendatangkan kesan dari segi undang-undang mahupun perbelanjaan kerajaan. Rang di peringkat jawatankuasa ini biasanya akan dikaji sedalam-dalamnya dan adalah menjadi kebiasaan intipatinya diubah setelah mendapat maklum balas daripada pakar-pakar tidak kira di kalangan kakitangan awam, pentadbir-pentadbir bebas yang berkepakaran tinggi mahupun individu persendirian daripada sektor industri mahupun perniagaan.

Setelah selesai diproses di peringkat jawatankuasa, rang undang-undang ini akan dibawa semula ke peringkat persidangan untuk melalui bacaan kedua. Di peringkat ini segala maklumat terperinci dan pindaan-pindaan yang dibuat di peringkat jawatankuasa akan dibaca dan dibahaskan. Selain daripada itu, cadangan pindaan yang datangnya daripada kumpulan-kumpulan parlimen mahupun ahli-ahlinya secara individu akan turut diketengahkan. Namun begitu, perkara ini selalunya telah dibawa ke perhatian peringkat jawatankuasa dan diputuskan di situ. Pada akhir bacaan selalunya selepas perbahasan dijalankan, barulah undian dilakukan untuk menyudahkan bacaan kedua ini.

Bacaan ketiga, iaitu proses terakhir, selalunya dilakukan apabila berlaku bangkangan besar terutamanya dari kalangan pergerakan awam, kerajaan-kerajaan negeri melalui ancaman veto di peringkat Bundesrat, barisan pembangkang lainnya dari dalam mahupun luar dewan malah daripada kerajaan mahupun penyokong-penyokongnya. Perbahasan sekali lagi dilakukan dengan cadangan pindaan baru turut diketengahkan. Akhirnya undian sekali lagi diadakan bagi menutup proses penggubalan undang-undang.

Rang undang-undang yang telah menerima kelulusan Bundestag hanya akan boleh berkuatkuasa setelah melalui perbahasan di peringkat Bundesrat, tidak kira sebelum atau selepas Bundestag. Sekiranya rang itu datangnya daripada Bundestag, proses yang sama akan dilakukan di Bundesrat sekali lagi sebelum kata putus (jika kelulusan Bundesrat diperlukan) atau maklum balas (jika kelulusan Bundesrat tidak diperlukan) dilakukan.

Bundestag bukanlah satu badan yang kekal, kerana penggal perkhidmatannya hanya berlangsung sehingga selewat-lewatnya 4 tahun. Dengan berakhirnya penggal perundangan, maka tamatlah segala tugasnya dan segala projek dan draf dalam tempoh penggal sebelum ini dikira tamat, tanpa mengira pada tahap mana yang diduduki sekarang. Hal ini dikenal sebagai prinsip tanpa kesinambungan. Segala inisiaif politik yang belum selesai perlulah dibawa semula ke perhatian sesi parlimen yang baru kerana wujudnya kuasa politik baru di dalamnya berikutan perubahan perwakilan. Pengecualian hanya diberikan kepada petisyen kerana dibawakan oleh orang-orang awam dan kehendak-kehendak awam tidak dianggap sebagai bergantung kepada pilihan raya.

Undang-undang berkaitan dengan eksais dan cukai

Penggubalan undang-undang berkaitan cukai menurut peraturan perlembagaan berhubung perbendaharaan negara bertumpu di peringkat persekutuan. Oleh itu di Jerman, hampir tidak mempunyai cukai di peringkat negeri. Namun begitu, pihak negeri masih berhak memungut dan menerima cukai tersebut dalam kadar tertentu seperti yang telah diputuskan semasa penggubalan undang-undang. Pindaan terhadap undang-undang yang menyentuh hak kerajaan negeri seperti ini perlulah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada parlimen negeri.

Undang-undang dan perjanjian antarabangsa

Perjanjian-perjanjian antarabangsa selalunya mengandungi peraturan-peraturan tertentu yang mempengaruhi undang-undang negara. Dalam kes ini wujud dua mekanisme khas untuk menanganinya, iaitu Penggabungan dan Pindaan. Dalam kes pertama, pertukaran rangka kerja perjanjian atau undang-undang antarabangsa ke dalam sistem perundangan negara dilakukan dengan menandatanganinya (jika sah di sisi undang-undang) melalui kaedah Ratifikasi seperti yang selalu dilakukan di Great Britain.

Dalam kes kedua pula, pertukaran undang-undang negara yang sedia ada dalam bentuk pindaan bagi memenuhi tuntutan perjanjian mahupun undang-undang antarabangsa tersebut diperlukan. Hal ini bagi memastikan tidak wujud konflik di dalam sistem perundangan ketika negara berusaha untuk menggunapakai perjanjian atau undang-undang antarabangsa tersebut. Perlakuan wakil kerajaan menandatangani perjanjian tersebut dianggap sebagai "janji kerajaan", manakala pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi menyesuaikannya dengan perjanjian tersebut dianggap sebagai "usaha memenuhi janji tersebut".

Di Jerman, model Pindaan adalah yang paling kerap diamalkan dan selalunya memerlukan penggubalan undang-undang baru yang khas menangani perjanjian atau undang-undang antarabangsa yang dimaksudkan. Tanpanya ratifikasi daripada presiden persekutuan mewakili seluruh rakyat menurut peruntukan perlembagaan tidak boleh dijalankan. Selain itu, sekiranya perjanjian mahupun undang-undang antarabangsa yang baru itu menyentuh hubungan di antara kerajaan negeri tertentu dan kerajaan persekutuan atau kedudukannya, maka diwajibkan oleh perlembagaan untuk melibatkan parlimen negeri dalam usaha meratifikasi perjanjian tersebut. Dalam hal ini, penglibatan Bundesrat, walaupun mewakili kerajaan-kerajaan negeri, adalah masih tidak cukup kerana badan itu tetap dianggap sebagai organ persekutuan.